PEMUZIK MENUJU KE ARAH IR 4.0

HAIRUL HASNAN
MUSIC PRODUCER

Saya tergerak menulis artikel ini apabila menghadapi dua situasi.

1) Saya mendapat tugasan untuk buat adunan bunyi sebuah lagu yang melibatkan alat muzik bertali (strings section).

2) Saya ingin merakamkan bunyi selo untuk sebuah lagu yang saya terbitkan.

Dan pada kedua-dua situasi ini, saya dapati pemain alat muzik bertali yang saya kendalikan kebanyakannya tidak memiliki alat rakaman di rumah. Tidak ada mikrofon yang sesuai, tidak ada pengantaramuka audio, tidak ada DAW malah ramai yang tidak tahu cara untuk merakam alat muzik mereka.

Situasi ini unik bagi aku kerana kebanyakan pemain alat muzik moden (bass, gitar, papan nada malah dram), sepanjang pengalaman dan pengamatan aku, hampir kesemua mereka tahu bagaimana untuk membuat rakaman di rumah.

Tetapi pemain alat muzik orkestra (termasuklah yang muda dan yang profesional), kebanyakannya hanya tahu merakam menggunakan telefon bimbit. (Nota : Tidak, audio yang dirakam menggunakan telefon bimbit tidak sesuai untuk rakaman professional. Terlalu panjang dan teknikal untuk aku jelaskan kenapa, tapi percayalah aku bila aku cakap begitu).

Saya pasti semua kita (terutamanya pemuzik) terkesan dengan perintah berkurung. Tiada lagi sumber pendapatan dari persembahan secara langsung. Aku lihat, kebanyakan pemuzik yang memainkan alat moden telah mula beralih ke medium digital untuk berinteraksi dan mencari rezeki; sama ada menawarkan khidmat sebagai pemuzik untuk rakaman atau persembahan langsung secara maya.

Untuk kedua-dua aktiviti ini, daya penarik utama sudah tentulah kualiti audio yang maksima dan terbaik. Tetapi situasi ini aku tak nampak untuk alat muzik klasikal. Kalau ada pun jarang. Kalau anda tidak mahu pada masa hadapan rakaman digantikan terus dengan bunyi dari sampler (aku tak jumpa istilah ni dalam bahasa), maka kamu hendaklah perkasakan ilmu dan pasarkan diri. Aku secara peribadi lebih gemar bunyi rakaman asli berbanding sampler.

Suka atau tidak, kita menuju ke revolusi industri 4.0. Revolusi kali ini menggabungkan aspek digital dengan fizikal dan merangkumi individu hinggalah ke masyarakat keseluruhan. Kalau masih di takuk lama, jangan salahkan orang lain bila tak boleh cari makan di masa akan datang.

Kepada yang masih berada di universiti (sama ada sebagai pendidik atau pelajar), ambillah peluang ini. Aku serius, rakaman, produksi dan persembahan secara maya ni boleh buat cari makan lebih-lebih lagi alat muzik klasikal sebab tak ramai yang boleh main.

Buat ‘cover’ lagu moden guna alat klasikal, make up lawa-lawa lepas tu tunggu durian runtuh dari Encik Google.

Bila dah viral, tawarkan kelas secara maya. Pastu jual produk timbang kilo.

Takkan tu pun abang nak ajar…