PROXIMITY EFFECT

HAIRUL HASNAN
MUSIC PRODUCER

Hari ni kita akan bercerita tentang kesan apa bila mikrofon diletakkan berdekatan dengan sumber bunyi.

Apabila mikrofon diletakkan berdekatan dengan sumber bunyi; contohnya amplifier, gitar akustik, violin, mulut dan sebagainya, fenomena yang dinamakan ‘proximity effect’ ni akan kedengaran.

‘Proximity’ atau dalam bahasa melayunya ‘berdekatan’ ni ialah apabila bunyi frekuensi rendah akan menjadi lebih kuat dari kebiasaan. Rasanya kita akan selalu dengar fenomena ni di karaoke bila bunyi vokal terlalu nipis penyanyi akan letak mikrofon berdekatan dengan mulut untuk dapatkan bunyi yang lebih ‘bass’.

Benda yang sama juga akan terjadi sekiranya kita letakkan mikrofon berdekatan dengan ‘sound hole’ instrument contohnya dalam satu atau dua inci dari lubang gitar akustik, atau beberapa sentimiter dari grill amplifier gitar. Bunyi bass yang akan dirakam oleh mikrofon akan jadi lebih kuat dan bunyi instrument tidak jadi natural.

Untuk elakkan efek ini, adalah digalakkan untuk meletakkan mikrofon sekurang-kurangnya enam inci dari sumber bunyi. Makin jauh mikrofon tersebut, makin kurang bunyi bass yang akan dirakam. Sebaiknya, gunakan telinga untuk membuat pertimbangan posisi mikrofon. Kan mikrofon ni sama seperti telinga elektronik, kedua-duanya menangkap bunyi? Sewaktu soundcheck mungkin boleh cuba dengar sama ada bunyi yang dirakam tu adalah bunyi yang anda mahukan.

‘Proximity effect’ ni bukanlah benda yang negatif dan wajib dielakkan. Muzik ni bukanlah hitam putih; ada yang 100% betul ada yang 100% salah. Muzik ni kawasan kelabu, yang tak ada yang salah tak ada yang betul. Yang penting sedap kan? Ada beberapa situasi di mana efek ini berguna untuk kita. Contohnya sekiranya suara penyanyi itu terlalu nipis atau frekuensi bass tidak berapa kuat. Pada situasi sebegini mungkin mikrofon boleh didekatkan dengan penyanyi untuk mendapatkan suara yang lebih berat.

Begitu juga untuk gitar elektrik, kalau bunyi terlalu bingit mungkin boleh didekatkan mikrofon dengan grill amplififer (kalau dirakam menggunakan amp). Untuk gitar akustik yang di ‘strum’, mungkin bunyi bass kita tak perlukan kerana ia akan membuatkan bunyi gitar itu ‘muddy’ tapi sekiranya dipetik satu-satu, mungkin kita nak dapatkan bunyi ‘low note’ yang lebih bulat jadi kita dekatkan sedikit dengan ‘sound hole’ untuk dapatkan bunyi bass yang lebih. Sekali lagi, gunakan telinga untuk pertimbangkan dengan kesesuaian lagu.

Semoga bermanfaat! Wassalam.