
MUSIC PRODUCER
Jika semalam saya telah menjelaskan kaedah mencampur audio muzik atas-ke-bawah dengan menggunakan penjelasan Phil Harding, kali ini saya akan menjelaskan kaedah mencampur audio atas-ke-bawah dari perspektif yang lain pula. Eh, ada pula perspektif yang lain?
Ada… Sebelum saya mulakan mari kita ulangkaji teknik yang telah saya kongsikan semalam. Pendekatan atas-ke-bawah mengikut perspektif Phil Harding, ialah di mana kita mulakan proses mencampur dengan subjek utama dalam lagu kita, iaitu vokal utama. Ini diikuti dengan gitar atau pad yang memainkan nada panjang. Selepas itu barulah yang lain-lain diakhiri dengan bes dan dram.
Ini adalah kaedah tidak konvensional kerana kebiasaannya jurutera audio (yang saya kenal) akan memulakan proses dari dram, bes, gitar dan diakhiri dengan vokal. Faedah menggunakan teknik ini telah saya jelaskan semalam dan mungkin pembaca boleh rujuk untuk maklumat lebih lanjut.
Baiklah, kali ini kita cuba selidik takrifan lain untuk istilah atas-ke-bawah dalam campuran audio muzik. Menurut [1] dan [2] pula (dan juga beberapa artikel lain sebenarnya), teknik atas-ke-bawah ini merujuk kepada kaedah di mana jurutera audio akan mendengar lagu secara keseluruhan (bukan satu-satu runut) sewaktu membuat campuran audio.
Kebiasaannya, jurutera audio (seperti saya dahulu) pertama sekali akan mendengar setiap satu runut audio dan memprosesnya menggunakan penyama, pemampat dan sebagainya. Dimulakan dengan dram bes dan dram getar kemudian diikuti oleh komponen dram yang lain.
Kemudian barulah naikkan kekuatan bunyi bes (setelah diproses) dan kemudian gitar dan seterusnya hinggalah ke vokal utama.Tetapi untuk kaedah atas-ke-bawah ini, kesemua runut bunyi dimainkan serentak, bukan satu persatu. Kemudian kekuatan bunyi setiap runut alat muzik akan diseimbangkan menggunakan pemudar runut untuk mendapatkan kekuatan bunyi yang dikehendaki.
Kemudian barulah diteliti setiap tona bunyi alat muzik dan diproses sambil mendengar keseluruhan bunyi tanpa diaktifkan butang solo. Hanya aktifkan sekiranya betul-betul memerlukan.Bunyinya agak ganjil, bukan?
Tapi kaedah ini berkesan sekiranya anda perlu menyiapkan campuran audio lagu dalam masa yang cepat. Ia juga dapat membantu memastikan setiap komponen di dalam muzik tersebut saling melengkapi dan tidak berbunyi seperti ia tidak berpadu atau tidak teradun dengan sempurna, seolah-olah setiap alat muzik di dalam lagu tersebut berada di ruangan berbeza.
Tambahan pula, teknik ini membantu jurutera audio untuk membuat keputusan berdasarkan konteks lagu tersebut. Sebagai contoh sekiranya kita memproses dram bes dengan hanya mendengar dram bes sahaja, bagaimana kita hendak tahu sekiranya tona bunyi dram bes itu akan sesuai dengan tona gitar bes?
Sekiranya kita hanya mendengar dram dan bes sahaja, bagaimana pula kita hendak pastikan tona dram dan bes tersebut sesuai dengan keseluruhan alat yang lain? Inilah antara faedah yang kita dapat jika kita gunakan kaedah ini. Pernahkah saya gunakan kaedah ini?
Sangat selalu, dan kebiasaannya saya akan gunakan kaedah ini untuk membuat campuran audio untuk genre rock dan pop-rock. Pertama sekali saya akan dengar kesemua runut dimainkan serentak dan menyeimbangkan kekuatan bunyi setiap alat mengikut kesesuaian.
Ini termasuklah merancang di mana untuk gunakan automasi pemudar di setiap runut. Setelah itu, saya akan meletakkan penapis laluan-tinggi di setiap runut untuk membuang hingar berfrekuensi rendah.
Kemudian, saya gunakan pemampat untuk menyajarkan kekuatan bunyi setiap alat muzik. Akhir sekali saya gunakan pemproses tambahan seperti ‘delay’, ’reverb’ atau ‘de-esser’ pada vokal utama, mungkin saya ubah tona alat muzik yang saya rasa perlu dengan menggunakan penyama vintaj (contohnya penyama tiub vakum), saya buat penetapan pada kedudukan stereo runut bunyi dan sebagainya.
Tapi semua keputusan dan proses ini saya akan buat SAMBIL mendengar keseluruhan lagu supaya saya boleh nilai kesesuaian dengan konteks lagu secara keseluruhan.
Proses campuran audio muzik menggunakan kaedah ini (pada pengalaman saya) akan mengambil masa lebih kurang antara satu hingga dua jam sahaja untuk menyiapkan lagu secara penuh.
Ini jika dibandingkan dengan tempoh berjam-jam yang diambil sewaktu saya mula-mula berjinak dalam bidang ini dahulu. Tetapi, mungkin teknik ini kurang sesuai digunakan oleh yang baru belajar mencampur audio kerana mereka perlu mengetahui cara yang sesuai untuk memproses setiap satu runut bunyi alat muzik.
Oleh itu, bagi yang baru berkecimpung dalam bidang kejuruteraan audio, banyakkan membaca dan mencuba supaya anda tahu fungsi setiap alat pemproses audio dan kesesuaian penggunaannya.
Barulah anda akan jadi pantas dalam mencampur audio muzik.Semoga bermanfaat! Wassalam..
Rujukan :
[1] Mike Senior dalam artikel Sound on Sound yang menulis tentang Top-Down approach. https://www.soundonsound.com/…/q-top-down-approach…
[2] Eli Krantzberg dalam artikel Sonarworks yang menceritakan faedah Top-Down approach. https://www.sonarworks.com/…/better-mixes-with-top…/
Istilah digunakan
Dram getar : Snare drum (aku drummer pun baru tahu snare dalam melayu apa hahahaha!!)
Berpadu atau teradun : Sini aku cuba jelaskan instrument dalam lagu tu tidak blend dengan sedap.
Diseimbangkan : Balancing, proses yang mana kita adjust fader track untuk kuatkan atau perlahankan bunyi.
Penapis laluan-tinggi : High-pass filter. EQ yang potong frekuensi rendah. Boleh cari di Google.
Hingar : Noise (Yang ni aku tau sebab aku belajar time fizik! Hahaha!!) Noise ni ialah bunyi yang tidak berkaitan sewaktu proses rakaman atau bunyi yang tidak dikehendaki. Contohnya bunyi hi-hat yang terakam oleh mikrofon snare.
Hingar berfrekuensi rendah : Low-frequency noise. Contohnya kau rakam vokal. Suara lelaki dewasa paling rendah pun 85Hz (Google cakap). Jadi yang lagi rendah dari 85Hz tu bukan bunyi suara lelaki, boleh buang la kan sebab tak berkaitan.









