
MUSIC PRODUCER
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.
Baik, untuk artikel kali ini saya cuba cabar diri sendiri untuk menulis sebanyak mungkin dalam bahasa Malaysia formal. Saya pun rasa janggal hendak menulis apatah lagi tuan/puan untuk membacanya. Tapi kalau kita tak cabar diri, bila lagi kan?
Dan siapa lagi yang kita boleh harap untuk memartabatkan bahasa kebangsaan kita kalau bukan kita sendiri. Di penghujung artikel saya akan sertakan senarai rujukan dan istilah yang saya gunakan (kalau masih tak faham, boleh tanya di ruangan komen).
Kesemua istilah saya ambil dari Kamus Dewan dan juga Kamus Istilah Kejuruteraan terbitan DBP.(Kita kan jurutera audio, kena la guna istilah jurutera baru nampak professional hehehe…)
Kali ini saya akan menulis tentang pendekatan yang berbeza sewaktu mencampur audio muzik. Perlu diingatkan, penulisan ini bukan peraturan yang wajib diikuti oleh semua. Tetapi penulisan ini memberikan idea tentang pendekatan lain yang boleh diambil sewaktu kita menjalankan tugas.
Mungkin kita biasa menggunakan cara A tetapi tidak tahu tentang cara B, C dan seterusnya yang boleh diambil. Pengetahuan ini memungkinkan kita bereksperimen menggunakan pendekatan yang lain untuk mempelbagaikan cara kita mencampur audio untuk muzik.
Berapa ramai di antara kita yang memulakan proses campuran bunyi bermula dari dram, bass, gitar atau papan nada, suara latar dan diakhiri penyanyi utama? Mungkin ramai, bukan? Saya sendiri juga biasa menggunakan pendekatan ini tapi tahukah anda tentang pendekatan lain yang boleh diambil?
Menurut Phil Harding [1], pendekatan yang biasa diambil oleh beliau (terutamanya sewaktu mencampur lagu ‘boybands’ seperti Boyzone dan 911 yang mementingkan vokal) ialah yang sebaliknya. Pendekatan yang pertama (dram pertama dan vokal terakhir) dinamakan ‘bottom-up approach’, atau dalam bahasa kita, bawah-ke-atas.
Manakala pendekatan kedua ialah ‘top-down approach’ atau atas-ke-bawah. Bagi beliau, teknik atas-ke-bawah ini sesuai untuk lagu yang memerlukan jurutera audio untuk menumpukan terhadap vokal lagu tersebut.
Pertama sekali setelah beliau import kesemua audio untuk satu lagu di dalam fail projek DAW, pemudar akan ditetapkan pada kedudukan paling bawah (-∞ dBFS atau tiada bunyi).
Langkah pertama, beliau akan mulakan proses dengan meletakkan pemudar utama dan pemudar runut vokal utama pada posisi sifar (0 dBFS) SEBELUM diproses oleh pemampat, penyama dan lain-lain. Runut ini yang akan menjadi tanda aras untuk kesemua audio yang lain.
Langkah kedua barulah beliau naikkan kekuatan bunyi alat yang akan bermain dari awal hingga ke penghujung lagu seperti gitar elektrik yang memainkan nada panjang atau pad dari papan nada. Bunyi ini akan diletakkan sangat perlahan supaya tidak mengganggu vokal utama.
Setelah itu barulah beliau akan menaikkan bunyi gitar akustik utama yang dirakam menggunakan sekurang-kurangnya tiga runut; menggunakan ‘D.I. Box’ menggunakan mikrofon ‘condenser’ kecil (mikrofon pensel; seperti yang biasa digunakan untuk merakam dram dari atas) dan juga satu ‘condenser’ besar (contohnya Rode NT1 atau Behringer C3).
Runut akustik inilah yang akan dijadikan stereo, di mana anda boleh membuat penetapan pada ‘pan’ untuk dua mikrofon ‘condenser’ masing-masing ke kiri dan kanan manakala dari D.I pula dibiarkan ke tengah. Tapi untuk ini, perlu dipastikan bahawa tiada masalah pemfasaan.
Setelah semua proses ini barulah beliau akan mula memproses runut vokal utama menggunakan pemproses seperti pemampat, penyama atau ‘reverb’. Langkah ini dibuat untuk memastikan vokal utama sentiasa konsisten dari segi kekuatan bunyi dengan menggunakan pemampat.
Dengan alat ini, secara automatik vokal yang perlahan akan dikuatkan bunyinya, manakala yang kuat akan diperlahankan dan ini menghasilkan kekuatan bunyi vokal sentiasa selaras.
Ini semua diikuti dengan menaikkan pemudar vokal latar, piano atau papan nada utama, alat orkestra (jika ada), gitar elektrik tambahan, gitar bes dan akhir sekali barulah dram.
Semua runut-runut ini akan ditala kedudukannya di ruang stereo, sama ada ke kiri atau kanan. Maksudnya, setelah vokal ditetapkan kedudukan di tengah-tengah barulah ruangan kiri dan kanan stereo diisikan oleh runut yang lain.
Mungkin cara beliau (atau saya) menjelaskan ini sangat mengelirukan. Biar saya cuba permudahkan. Pada asasnya, idea beliau ialah untuk kita mulakan dengan benda yang paling utama dalam sesebuah lagu; iaitu vokal utama.
Analoginya adalah seperti kita melukis. Bayangkan anda melukis potret Monalisa. Adakah anda akan mulakan lukisan dengan melukis landskap di belakang Monalisa atau melukis imej utamanya dahulu?
Jadi itulah idea utama beliau, mulakan proses dengan vokal utama (seolah-olah kita melukis Monalisa dahulu) dan kemudian pad atau gitar yang memainkan nada panjang (seolah-olah olah kita warnakan latar belakang Monalisa dengan warna asas contohnya biru langit dan hijau bumi).
Setelah vokal utama dan pad barulah alat muzik yang lain (seolah kita mengisi perincian latar belakang seperti pokok, bangunan dan awan).
Adakah saya pernah menggunakan pendekatan ini?
Ya, saya pernah. Saya dapati ia sangat membantu untuk membuat campuran audio lagu genre balada atau pop. Sebagai contoh, untuk lagu yang mana vokal dan muzik latar lagu tersebut mempunyai dinamik yang sangat luas (dari berbisik sewaktu verse hingga bersuara lantang sewaktu korus).
Cuba anda bayangkan menjadi jurutera audio untuk lagu seperti
“Power of Love – Celine Dion”.
Sekiranya saya mulakan dengan dram dan muzik dahulu, saya jangkakan akan menghadapi masalah di mana dinamik lagu tersebut terlalu besar dan tidak konsisten.
Permulaan lagu tersebut akan terlalu perlahan dan pengakhiran pula terlalu kuat. Ini kerana sekiranya kita mulakan dengan muzik, bunyi muzik yang perlahan mendorong kita untuk meletakkan vokal pada kekuatan yang juga perlahan untuk seimbang dengan muzik.
Maka keseluruhan permulaan lagu akan jadi perlahan. Hasilnya, pendengar akan menghadapi masalah kerana terpaksa mengubah kekuatan bunyi di alat pemain mereka (CD atau Radio). Kecuali kalau kita gunakan automasi pemudar, tetapi bunyinya tidak lagi natural.
Tetapi jika kita guna teknik atas-ke-bawah, vokal akan sentiasa kedengaran (walaupun penyanyi berbisik atau menjerit) kerana kita akan pastikan vokal sentiasa kuat. Muzik yang akan mengimbangi kekuatan suara.
Rujukan[1] Phil Harding dalam buku ‘Mixing Music – Perspectives on Music Production’ terbitan Routledge (2017).
Phil Harding ialah jurutera audio untuk lagu ‘Words’ oleh Boyzone, dan juga banyak artis lain antaranya 911, Chic, Diana Ross, Donna Summer, Gary Moore, Kylie Minogue, Pet Shop Boys, Take That (dan banyak lagi disenaraikan di dalam wikipedia beliau).
Istilah digunakan :
Pemudar – Fader; alat untuk mengawal kekuatan bunyi di dalam stesen kerja audio digital (Digital Audio Workstation) seperti Logic Pro X, Cubase, Protool dan sebagainya.
Mencampur, campur – Mixing, mix (Inilah istilah yang paling aku rasa janggal tapi inilah yang ada dalam Kamus Istilah Kejuruteraan Audio/Radio dan juga Kamus Dewan).
Penetapan, tetapan – Setting
Papan Nada – Keyboard
Runut – Track
Sunting – Edit
Pemampatan – Compression
Penyama – Equaliser
Pemfasaan – Phasing
Automasi Pemudar – Fader Automation. Maksud aku di situ, automate kan master volume untuk kuatkan di intro lagu untuk balancekan overall volume.
‘Reverb’ – Aku tak jumpa istilah sesuai dalam bahasa Malaysia untuk ‘reverb’. Sebab perkataan gema digunakan, tetapi gema juga digunakan untuk ‘echo’. ‘Reverb’ dan ‘echo’ adalah benda yang sangat berbeza.
Perlu kajian dan istilah khusus untuk ini (kalau sudah ada tolong betulkan aku).
Nada panjang – Aku maksudkan sini ‘sustained’.
Sekian..Wassalam.
